Tuesday, September 19, 2006

EnTiTi

Sayup-sayup terdengar petikan gitar, sekali-sekala terdengar suara jeritan lelaki memecah keheningan pagi dari asrama pelajar lelaki. Release tensionlah tu! Almaklumlah final exam tinggal sebulan lagi. Aku masih tercanguk di meja study menelaah subject Accounting. Mata masih tidak mengantuk lagi walaupun jam dah menunjukkan pukul 3.00 pagi. Memikirkan ada kelas pukul 11.00 pagi, aku ambil keputusan untuk tidur. Nanti mengantuk pulak dalam kelas. Kawan sebilik aku, Azni dah lama koma, yang dua orang lagi, Linda dan Artie entah ke mana merayapnya.

Aku kemaskan semua buku dan padamkan lampu kamar. Suasana dalam kamar masih samar-samar oleh cahaya dari asrama pelajar lelaki yang terletak di atas bukit di hadapan blok aku. Aku pejamkan mata, pusing kiri dan kanan, masih lagi sukar nak lelapkan mata. Keadaan malam yang agak panas menyukarkan lagi untuk aku tidur walaupun kipas di tengah kamar ligat berpusing dengan kelajuan yang maksimum. Cuba jugak kira anak kambing lompat pagar, kut-kut boleh tidur, masih tak berhasil. Tipulah siapa yang bagi petua kira anak kambing ni boleh tidur. Aku baring mengiring betul-betul di tepi katil supaya boleh kena angin dari kipas. Yalah, katil aku double decker dan aku di bahagian bawah. Aku pejamkan mata dan fikiran mula melayang tentang kisah lalu dan berangan tentang masa hadapan, cubaan terakhir untuk tidur. Manalah tahu, bila otak letih berimaginasi, terlelap kut mata.

Tiba-tiba, aku terasa tilam di sebelah belakang aku tenggelam seperti dibaringi seseorang. Kemudian aku terdengar bantal kepalaku dicakar berulang kali. Tubuhku terus kaku, hatiku berdebar-debar, mata ku pejamkan rapat-rapat dan aku mula membaca di dalam hati ayat-ayat suci yang aku hafal dari ayat lazim hinggalah ayat kursi. Semasa itu, aku teringat kisah yang aku dengar tentang pelajar dihempap oleh sesuatu semasa tidur. Sedang aku asyik membaca ayat-ayat suci, aku dikejutkan pula dengan bunyi yang amat kuat. Ku bukakan mataku sedikit dan aku terlihat satu lembaga hitam lebih kurang 7 kaki tingginya berdiri di tepi pintu sedang menghentam pintu kamarku dengan kuat hingga bergegar pintu tersebut. Ku pejamkan mata semula dan tidak putus-putus membaca ayat-ayat suci. Berbagai perkara bermain dalam fikiranku, tergerak jugak untuk berteriak dan melaungkan Allahuakbar tapi aku batalkan niat aku dan mengambil keputusan untuk mematikan diri.

Selepas beberapa kali, bunyi itu berhenti. Aku terdengar pulak satu suara membuat bunyi ketawa "He he he" beberapa kali. Hatiku berkata-kata, "Alamak, apa pulak ni." Aku memberanikan diri untuk membuka mataku sedikit. Dalam cahaya samar-samar itu, kelihatan satu makhluk bertubuh sasa dengan bentuk tubuh setengah manusia dan setengah beruk ala-ala dalam cerita Planet of The Apes. Makhluk itu berlari-lari kecil dengan menghentakkan kakinya sambil ketawa di tengah kamarku. Beberapa kali aku pejam dan buka mataku sedikit memerhatikan tingkahlaku makhluk itu. Risau jugak aku kalau tiba-tiba ia menerkam aku. Selepas tiga kali berlari-lari di tengah kamarku, ia lenyap dari pandangan dan aku terasa benda yang berbaring di belakang aku juga bangun dari katilku. Tiba-tiba, terdengar kembali petikan gitar dan suara dari asrama pelajar lelaki. Sepanjang aku diganggu oleh sesuatu, lembaga dan makhluk itu, aku seperti berada di alam lain kerana aku dapat melihat Azni tetapi dia sedikit pun tidak terjaga dek bunyi yang kuat di pintu dan gelak ketawa makhluk tersebut. Tanpa aku membuang masa, aku terus terjun dari katil dan lompat ke katil Azni. Azni terjaga dan tanya aku kenapa. Aku cakap esok aku cerita sebab hati aku masih berdebar-debar dan aku tak mahu takutkan dia. Sempat juga aku tengok jam di tangan aku - pukul 3.30 pagi.

Cerita ni memang kisah benar. Aku pasti sebab aku memang cubit diri aku sendiri semasa didatangi oleh gangguan-gangguan tersebut. Aku pernah terbaca dan terdengar mengenai ada tabir yang memisahkan dunia manusia dan dunia makhluk halus ni, jin atau syaitan. Ada masanya, tabir ni tersingkap dan manusia dapat melihat makhluk alam lain ini. Mungkin sesetengah orang anggap sesiapa yang dapat peluang melihat atau berjumpa makhluk alam lain ni bertuah tetapi bagi aku cukuplah sekali melalui pengalaman tersebut.

Semasa aku menulis entry ini, beberapa kali bulu roma ku meremang...................

4 comments:

pugly said...

Okay ... that's kinda disturbing ...

*shudder*

Nurul Abid said...

Pugly - this happened about 10 years ago but I still vividly remember every detail. You just can't forget such kind of experience. Hope I didn't scare you...:p

Azer Mantessa said...

peh ... punyalah suspense :-|

Nurul Abid said...

Azer - ghost stories r supposed to be full of suspense...