Wednesday, June 13, 2007

Cuti D'Langkawi


Destinasi percutian keluarga aku kali ini adalah ke pulau lagenda, Langkawi. Kami sekeluarga seramai 9 orang ke Langkawi menaiki pesawat Airasia dan tempat penginapan yang dipilih ialah Mutiara Burau Bay Beach Resort yang terletak lebih kurang 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Walaupun terpaksa menunggu sehingga lebih 30 minit semasa check-in, itu semua berbaloi apabila melihat pemandangan pantai dan laut yang mengasyikkan dari beranda Burau Suite dua bilik sementara dua adik lelaki aku pula menginap di cabana dengan katil berkembar yang terletak bersebelahan.

Walaupun ini adalah kali pertama aku menjejaki kaki ke Langkawi, aku tidak membuat perancangan untuk menerokai seluruh pulau. Tujuan aku ke sini lebih untuk merehatkan minda dan badan tanpa memikirkan soal kerja di samping meluangkan masa bersama ahli keluarga. Pada hari ketibaan, kami meluangkan masa berehat di cabana sambil melayan anak-anak buah aku berendam di dalam jacuzzi tab di beranda cabana dan bersantai di tepi pantai hingga lewat petang. Pada hari kedua selepas mandi laut di waktu pagi, baru kami ke beberapa tempat menarik di Langkawi menaiki kereta yang kami sewa dengan kadar RM100 sehari untuk 2 buah kereta Wira. Kadar ini jauh lebih murah dari kadar yang dipamerkan di lapangan terbang.


Tempat menarik yang dilawati ialah Langkawi Oriental Village di mana terletaknya Kereta Kabel dan Curved Suspension Bridge, lebih kurang 10 minit dari resort. Pemandangan sepanjang perjalanan ke atas menaiki kereta kabel memang menyejukkan mata dengan kehijauan hutan dara Hutan Simpanan Gunung Machincang, Air Terjun Telaga Tujuh dan sayup mata memandang, gunug-ganang, pantai serta pulau-pulau yang mengeliling Langkawi. Apabila melihat ke bawah, ngeri membayangkan bagaimana kalau kereta kabel yang kami naiki ini jatuh ke dalam hutan di bawah. Kebetulan pula kakak aku, Kema sebut pula mengenai peristiwa kemalangan di sebuah negara jiran di mana sebuah kereta kabel jatuh. Memang tak sayang mulut betul kakak aku ni!

Sewaktu kami menghampiri hentian pertama, aku terpegun melihat Curved Suspension Bridge yang merentangi banjaran Gunung Machincang. Seperti Gunung Machincang yang mistik, jambatan tersebut bagi aku seperti suatu ilusi dan fantasi yang mengingatkan aku akan filem Lord Of The Rings. Salah satu perkara menarik tentang jambatan ini adalah seluruh strukturnya disokong oleh sebuah menara tinggi yang ditanam jauh di bawah antara lembah gunung ini. Aku kagum bukan sahaja kerana jambatan ini dibina pada paras ketinggian hampir 700 meter tetapi juga bagaimana bahan-bahan binaannya dibawa ke ketinggian tersebut memandangkan tiada jalan dari kaki gunung sehingga ke puncak. Sebaik sahaja tiba di Hentian Ke-2, kami merintis jalan denai bertangga menuruni ke jambatan tersebut. Semasa berdiri dan meniti laluan ke hujung jambatan, terasa jambatan tersebut berbuai-buai walaupun angin bertiup lembut. Aku tidak berani melihat ke bawah tetapi sekadar menikmati pemandangan indah di sekitar. Terasa seperti di awang-awangan pula.

Pada hari ke-3, pada sebelah pagi kami ke Padang Matsirat di mana terletaknya kawasan Beras Terbakar. Di kiri kanan jalan menuju ke kawasan ini, penuh dengan deretan kedai menjual pakaian, barangan handikraf, cenderahati dan ubat-ubatan terutama yang diperbuat dari gamat. Kawasan beras terbakar ini hanyalah sebuah kawasan kecil yang dipagari. Puas juga menguis tanah dari tepi pagar mencari beras terbakar tetapi hampa. Yang ada hanyalah beras terbakar di dalam botol yang dipamerkan di hadapan kawasan tersebut. Aku tidak lama di sini dan langsung menuju ke Kota Mahsuri sementara kembar aku sekeluarga membeli-belah di kedai-kedai tersebut.

Selain daripada terdapat makam dan perigi Mahsuri, tempat Mahsuri dikatakan dikebumikan ini telah dibangunkan menjadi sebuah kompleks yang agar luas dengan replika rumah-rumah tradisional Melayu, mini muzium yang mempamerkan barangan artifak berkaitan cerita Mahsuri di samping kedai-kedai menjual cenderahati. Terdapat juga pohon kekabu yang lebat berdekatan dengan makam dan beberapa ekor burung di dalam sangkar. Aku sempat juga meminta seorang pelukis melakarkan potret aku di sini pada harga yang agak berpatutan. Kami langsung ke Pekan Kuah untuk makan tengahari dan membeli-belah di kedai-kedai bebas cukai di sini. Aku hanya membeli fridge magnet Langkawi sebagai kenangan dan coklat untuk dibawa pulang. Aku tidak lama di sini kerana bagi aku tiada barang-barang yang menarik hati aku untuk dibeli walaupun kulihat berpusu-pusu orang memborong pelbagai jenis barang terutamanya pinggan mangkuk. Kembar aku terus sakan membeli-belah sehingga malam baru pulang ke resort sedangkan aku awal-awal lagi sudah pulang. Pada keesokan harinya sebelum pulang ke KL pada sebelah petang pun dia sempat menyambung aktiviti membeli-belahnya di Padang Matsirat sehingga anak buah aku, Ashin merungut tidak akan mengikut Mamanya membeli-belah lagi.

Di Langkawi juga aku terserempak dengan beberapa orang yang aku kenali. Semasa membeli tiket untuk menaiki kereta kabel, aku terjumpa dengan Khairil sekeluarga yang merupakan ahli rombongan semasa percutian aku ke Kaherah pada akhir tahun lalu. Lalu berlakulah adegan jejak kasih kerana sejak percutian tersebut, kami tidak lagi berjumpa. Aku juga terserempak dengan seorang mamat yang aku kenali di kedai Sony Style, Subang Parade semasa aku sedang membelek kamera digital di situ. Dia yang menyarankan aku membeli kamera digital jenama Sony berbanding dengan Canon dan Nikon, antara jenama lain yang dalam pertimbangan aku. Aku terima saranan beliau lalu membeli kamera digital Sony Cybershot T20 berwarna merah jambu. Sememangnya aku berpuas hati dengan ciri-ciri kamera tersebut dan hasil gambarnya. Kebetulan yang lebih mengejutkan ialah, mamat ni atau namanya Ouch tinggal di cabana bersebelahan dengan cabana aku. Peliknya kami tidak pernah bertembung di resort. Jemputan untuk makan malam darinya di cafe resort pada malam itu terpaksa aku tolak kerana pada waktu itu aku dalam perjalanan bersama keluarga untuk makan malam dan malam itu adalah malam terakhir aku di Langkawi. Memang kecil dunia ini.......

Walaupun ini adalah kali pertama aku menjejaki kaki ke Langkawi, tetapi pastinya bukanlah kali terakhir. Aku berhasrat untuk pulang ke pulau lagenda ini untuk melawat tempat-tempat lain yang menarik.....insyaallah....

8 comments:

Xis said...

Nurul
it's so happened that my friend asked me to join him and two other friends to go to Langkawi end of this month.. but I don't think I'm going as I have something else planned that weekend. Anyway it reminded me of your trip there.. sounds you had fun with your family... that's good to know.

Nurul Abid said...

Any time spend with family is always fun for me especially with those 2 angels tak kira di mana and buat apa. Cuma this trip my eldest sis yang kat Dubai tu terpaksa tarik diri last minute because of work commitment.

Xis said...

Nurul
well.. hopefully she could make it the next time you have another gathering.. plus, it was due to her work commitment that she had to cancel her trip back..

Nurul Abid said...

Xis - ya lor, memang susah nak make sure semua ahli keluarga available for family trip. The last time semua available was when all of us went to KK to celebrate birthdays my niece and nephew. Hopefully next time tiada yang tertinggal.

Rush Murad said...

Rindu plak kat Langkawi bila dengar cerita, dah lama benor tak ke sana.... mesti dah banyak perubahan... kalau i pergi it will be my 11th or 12th time... lebih seronok bermotorsikal ajer keliling kampung. Weiii... beli Sony jugak ek? T20 tu upgrade version T10 macam i punya... nak plak pi langkawi jugak lah wif family... Burau Bay tu i pernah ke sana dulu, dulu2 harga kat situ mahal, around RM600 semalam... sekarang ni berapa harga?

Nurul Abid said...

Rush - aik, keluar cakap Perak ler pulak....tak tahu lah apa perubahannya sebab it was my first trip to this island, so tak boleh nak compare. However, what I can say, maintenance and cleanliness of certain tourist spot yang I pergi tu quite disappointing considering that Langkawi may be called Langkawi Geopark by Unesco.

T20 tu the latest model after T100. I was contemplating between these 2 models but bila consider that features yang berbeza cuma zoom and LCD screen size aje, I chose T20, about RM400 cheaper. The suite with 2 bedrooms yg I stayed tu normal price RM1,000/night, tapi we all dapat package discount to RM700/night sebab we stayed for the min no. of nights to be eligible for the discounted rate.

nizamje said...

Aku ngan family akan ke langkawi, tngah plan itenary ni.... so tologn la suggest tempat2 makan yang okay.... nama kedai/restoren dan tempatnya sekali...

Thank you.

Anonymous said...

nama saya zainuddin, ataupun dikenali sebagai chef din rambo.. tinggal dilangkawi. kalau nak datang langkawi boleh lawati saya di http://chefdinrambo.blogspot.com
saya ada ramai kawan yang boleh uruskan percutian yang murah dan menarik.